| Soalan Lazim Mengenai Hak Cipta | |
|
1. Apakah itu hakcipta? Hakcipta adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka di Malaysia. 2. Apakah akta yang melindungi hakcipta? Perlindungan hakcipta di Malaysia adalah tertakluk kepada Akta Hakcipta 1987. 3. Apakah karya-karya yang layak mendapat perlindungan hakcipta? Karya-karya yang layak mendapat perlindungan hakcipta ialah: (i) Karya sastera; (ii) Karya muzik; (iii) Karya seni; (iv) Filem; (v) Rakaman bunyi; (vi) Siaran (broadcast); dan (vii) Karya terbitan. 4. Adakah Malaysia mempunyai sistem pendaftaran hakcipta? Buat masa sekarang Malaysia tidak mempunyai sistem pendaftaran hakcipta. 5. Bagaimanakah cara untuk membuktikan pemilikan hakcipta? Terdapat dua cara: • Melalui surat Akuan Bersumpah di bawah Akta Akuan Bersumpah 1960; atau • Melalui sampul surat yang mengandungi karya hakcipta yang dilakri dan seterusnya diposkan ke alamat sendiri. 6. Apakah syarat-syarat yang perlu ada untuk mendapatkan perlindungan hakcipta? Hakcipta wujud apabila syarat-syarat berikut dipenuhi: • Karya tersebut adalah asli; • Karya tersebut telah direkodkan, ditulis atau dijadikan dalam bentuk bahan; • Penciptanya mestilah orang berkelayakan; dan • Karya tersebut dibuat di Malaysia atau penerbitan pertama adalah di Malaysia. 7. Siapakah pemilik sebenar hakcipta? Pemilikan hakcipta bergantung kepada keadaan-keadaan berikut: • Sekiranya karya dibuat di bawah sesuatu kontrak perkhidmatan; - Hakcipta adalah milik majikan • Sekiranya karya itu ditempah; - Hakcipta adalah milik pihak yang membuat tempahan 8. Bolehkan hakcipta dipindahmilik? Seperti harta mudah alih lainnya, hakcipta boleh dipindahmilik melalui: • Penyerahan, • Pemberian wasiat, • Penguatkuasa undang-undang 9. Apakah hak lain yang dipegang oleh tuan punya hakcipta selain daripada hak komersial karya hakcipta? Undang-undang hakcipta memberikan hak moral kepada tuan punya hakcipta. 10. Apakah jenis hak moral tersebut? Dua jenis hak moral ialah: • Hak untuk dikenali sebagai pencipta karya; dan • Hak supaya karya tidak dicacatkan 11. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh tuan punya hakcipta sekiranya berlaku perlanggaran hakcipta ? Sekiranya berlaku perlanggaran hakcipta, tuan punya karya hakcipta boleh mengambil tindakan undang-undang seperti gantirugi kewangan serta injuksi 12. Berapa lamakah tempoh perlindungan hakcipta? • Bagi karya sastera, seni dan muzik tempoh perlindungan adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya; • Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran, perlindungan adalah selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan; 13. Apakah hak-hak eksklusif pemilik hakcipta? Sebagai pemilik hakcipta, mereka boleh; • Melakukan pengeluaran semula sesuatu karya dalam apa-apa bentuk bahan; • Melakukan penyampaian kepada masyarakat awam; • Membuat pertunjukkan, tayangan atau permainan kepada awam; • Melakukan pengedaran salinan-salinan kepada awam melalui penjualan atau pemindahan pemunyaan lainnya;dan • Melakukan penyewaan secara komersial kepada masyarakat awam 14. Apakah perlanggaran hakcipta? Perlanggaran hakcipta adalah perkara-perkara yang dilakukan yang melanggar hak eksklusif pemilik hakcipta seperti: • Melakukan pengeluaran semula sesuatu karya tanpa kebenaran tuanpunya karya; • Melakukan penyampaian kepada masyarakat awam tanpa kebenaran tuan punya karya; • Mengimport apa-apa artikel ke negara ini bagi tujuan mendapat keuntungan; • Membuat salinan langgaran dan seterusnya menawarkan untuk jualan; • Menyewakan salinan langgaran; • Mempamerkan kepada masyarakat umum apa-apa salinan langgaran; • Membuat atau memiliki sebarang perekaan yang boleh digunakan untuk maksud membuat salinan langgaran. 15. Apakah pengecualian yang diberikan oleh Akta Hakcipta kepada pengguna karya? Penggunaan karya secara urusan yang wajar bagi tujuan yang berikut adalah dibenarkan tertakluk kepada penghargaan yang diberikan kepada pencipta karya: • Penggunaan bagi tujuan penyelidikan; • Penggunaan bagi pengajian persendirian; dan • Penggunaan bagi tujuan kritikan dan laporan semasa. 16. Siapakah yang bertanggunjawab terhadap penguatkuasaan hakcipta? Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (Bahagian Penguatkuasa) dan Polis Diraja Malaysia bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan undang-undang hakcipta. 17. Apakah yang dimaksudkan dengan badan kutipan royalti hakcipta? Badan kutipan royalti hakcipta adalah badan yang diberikan kuasa untuk memungut bayaran royalti bagi pihak tuan punya hakcipta. 18. Adakah kerajaan mengiktiraf badan-badan ini? Badan-badan ini mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan selaras dengan peruntukkan yang diberikan di bawah Akta Hakcipta 1987. 19. Apakah fungsi badan-badan pemungut ini? Badan-badan pemungut ini mengeluarkan lesen kepada pihak yang mahu menggunakan karya hakcipta di tempat awam dan seterusnya royalti yang dikumpulkan akan diagihkan kepada pemunya karya setiap tahun. 20. Apakah pihak kerajaan yang menetapkan kadar royalti yang dipungut oleh pihak badan kutipan? Kerajaan tidak mengawal dan tidak terlibat dalam menetapkan kadar tersebut. Ia ditetapkan secara kontrak antara pemunya dan badan kutipan. 21.Kenapa pihak kerajaan tidak boleh terlibat di dalam menetapkan kadar ini? Ini adalah kerana hakcipta adalah hak eksklusif tuanpunya karya. 22.Sekiranya berlaku pertelingkahan di antara pemunya hakcipta dengan badan-badan kutipan royalti ini, apakah tindakan yangboleh diambil oleh pihak pemunya hakcipta? Sebarang pertelingkahan berkenaan royalti ataupun lesen yang diselenggarakan oleh pihak badan kutipan boleh dikemukakanke Tribunal Hakcipta. 23.Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan ke Tribunal Hakcipta? Permohonan boleh dibuat dengan: • Menulis kepada Setiausaha Tribunal iaitu Bahagian Hakcipta, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) 24.Apakah yang dimaksudkan dengan hak pelaku? Hak pelaku adalah hak diberikan kepada mereka yang mengambil bahagian dalam persembahan awam secara langsung contohnya penyanyi, pemuzik,penari dan pelakon. 25.Apakah hak yang diberikan di bawah Akta Hakcipta 1987 kepada pelaku? Akta Hakcipta 1987 melalui pindaan pada tahun 2000 telah memberikan hak bagi menikmati ‘equitable remuneration’ kepada pihak pelaku. Pelaku layak mendapat ‘equitable remuneration’ sekiranya: • Karya rakaman bunyi yang menggunakan suara dan muzik pelaku diterbitkan untuk tujuan komersial • Pengeluaran semula mana-mana karya rakaman bunyi untuk tujuan persembahan kepada masyarakat awam • Persembahan tersebut digunakan secara terus untuk siaran • Persembahan tersebut digunakan untuk masyarakat awam. 26.Berapa lamakah tempoh perlindungan yang diberikan kepada pelaku? Hak pelaku mendapat perlindungan selama 50 tahun dari tarikh persembahan dibuat. 27.Apakah kelayakan bagi perlindungan pelaku? Bagi mendapatkan perlindungan bagi hak pelaku, syarat-syarat berikut mestilah dipenuhi: • Pelaku mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap • Sekiranya bukan warganegara atau bukan pemastautin tetap, tetapi persembahannya mestilah – Diadakan di Malaysia • Telah digabungkan dalam rakaman bunyi yang dilindungi oleh Akta Hakcipta 1987; atau • Belum lagi ditetapkan dalam rakaman bunyi tetapi termasuk dalam suatu siaran yang layak untuk dilindungi di bawah Akta Hakcipta 1987. |


