Select style: Blue | Orange
Soalan Lazim Petunjuk Geografi

1) Apa itu petunjuk geografi?

Akta Petunjuk Geografi 2000 mendefinisikan petunjuk geografi sebagai suatu petunjuk yang mengenal pasti apa-apa barang sebagai berasal dari sesuatu negara atau wilayah, atau sesuatu kawasan atau tempat dalam negara atau wilayah itu, jika suatu kualiti, reputasi atau ciri lain tertentu barang itu adalah berpunca dari tempat asal geografinya.  


2) Adakah Malaysia mempunyai barangan yang boleh didaftarkan di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000?

Malaysia mempunyai beberapa barangan yang layak dan telah didaftarkan sebagai petunjuk geografi. Barangan ini juga telah dieksploitasikan secara komersil di dalam dan luar Negara. Salah satu contohnya adalah ‘Sarawak Pepper’ iaitu produk lada hitam yang dihasilkan di negeri Sarawak. Lada hitam dari Sarawak ini telah dikenali di peringkat antarabangsa kerana produk yang dihasilkan dari wilayah Sarawak ini berkualiti dan mempunyai reputasi yang baik. Selain itu juga, barangan petunjuk georafi yang telah didaftarkan di Malaysia adalah  ‘Sabah Tea’, ‘Tenom Coffee’, ‘Borneo Virgin Coconut Oil’ dan ‘Sabah Seaweed’. Keempat-empat barangan petunjuk geografi ini berasal dari negeri Sabah. 

3) Adakah petunjuk geografi hanya boleh digunapakai ke atas barangan keluaran pertanian?

Penggunaan petunjuk geografi adalah tidak terhad atau tertakluk kepada keluaran pertanian sahaja. Ini kerana petunjuk geografi boleh digunapakai bagi barangan keluaran semulajadi seperti Gamat Langkawi dan juga hasil kraftangan seperti Songket Terengganu, Batik Kelantan serta makanan seperti Belacan Papar dan Budu Kelantan. 

4) Adakah pendaftaran petunjuk geografi ini wajib?
Pendaftaran petunjuk geografi tidak diwajibkan namun pendaftaran amat digalakkan untuk melindungi kepentingan pengeluar dan pengguna. Tuan punya petunjuk geografi yang berdaftar mempunyai hak eksklusif untuk mengeksploitasi barangan petunjuk geografi bagi mendapat pengikhtirafan baik di dalam negara mahupun luar negara.  

5) Bolehkah petunjuk geografi didaftarkan oleh individu?

Pendaftaran petunjuk geografi bukanlah merupakan konsep pemilikan persendirian oleh seseorang individu tetapi konsep pemilikan bersama bagi pengeluar-pengeluar yang menjalankan aktivitinya dalam kawasan geografi yang dinyatakan. Petunjuk geografi juga boleh didaftarkan oleh suatu pihak yang berwibawa seperti pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, badan berkanun; dan organisasi atau persatuan perdagangan.  

6) Apakah perbezaan di antara barangan yang mempunyai tanda petunjuk geografi dengan barangan yang sebaliknya?  

Kualiti dan ciri-ciri unik sesuatu barangan petunjuk geografi adalah dipengaruhi oleh kedudukan geografi tempat barangan itu dikeluarkan. Barangan petunjuk geografi yang dijamin kualiti dan mempunyai reputasi yang baik boleh menjadi terkenal di seluruh dunia dan mudah diterima di pasaran. Sekiranya sesuatu barangan tidak mempunyai kualiti dan ciri-ciri unik yang dipengaruhi oleh kedudukan geografi tempat barangan itu dikeluarkan, maka barangan itu tidak boleh dianggap sebagai barangan  petunjuk geografi. Ciri-ciri inilah yang membezakan sesuatu barangan petunjuk geografi dengan barangan yang tiada ciri-ciri petunjuk geografi. 

7) Berapa lamakah tempoh perlindungan petunjuk geografi yang diperuntukan di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000?

Tempoh perlindungan petunjuk geografi yang berdaftar adalah selama 10 tahun dari tarikh pemfailan. Pembaharuan pendaftaran boleh dibuat bagi setiap 10 tahun selagi petunjuk geografi itu digunapakai.  

8) Apakah skop perlindungan petunjuk geografi di Malaysia?

Perlindungan petunjuk geografi adalah terhad di negara di mana ianya didaftarkan. Sehubungan itu, petunjuk geografi yang didaftarkan di Malaysia hanya dilindungi di negara ini sahaja. Bagi mendapatkan perlindungan di negara lain, petunjuk geografi berkenaan perlu didaftarkan di negara berkaitan.

9) Apakah perbezaan di antara petunjuk geografi dengan cap dagangan?

Cap dagangan adalah sesuatu tanda untuk mengenalpasti sesuatu barangan yang dikeluarkan oleh pengeluar dan tanda ini dapat membezakan barangan tersebut dengan barangan yang  dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar lain. Manakala petunjuk geografi adalah indikasi di mana barangan tersebut dihasilkan dan mempunyai ciri yang berkait rapat dengan tempat pengeluarannya atau kedudukan geografi. Selain itu juga, setiap barangan petunjuk geografi boleh menggunapakai cap dagangan yang berbeza di antara satu peniaga dengan peniaga yang lain, namun mestilah merupakan barangan petunjuk geografi yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar yang diberi hak ke atas petunjuk geografi tersebut. 

10) Apakah tindakan yang boleh diambil oleh pihak-pihak yang terkilan jika didapati petunjuk geografi yang digunakan adalah mengelirukan orang ramai?

Mana-mana pihak yang terkilan boleh memfailkan kes ke Mahkamah Tinggi (Harta Intelek).

 

Rakan Kami

WIPO