| Soalan Lazim Paten | |
|
1. Apakah itu paten? Paten adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta, sama ada suatu produk ataupun proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu, ataupun untuk penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah. Paten dilindungi selama 20 tahun dari tarikh pemfailan. 2. Apakah itu perbaharuan utiliti? Perbaharuan utiliti adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta yang ringkas. Perbaharuan utiliti dilindungi selama 10 tahun dan boleh dilanjutkan selama dua tempoh 5 tahun, menjadikan tempoh maksima perlindungan selama 20 tahun. 3. Apakah hak pemunya paten? Pemunya paten mempunyai hak untuk menggunakan rekacipta yang dipatenkan atau memberi lesen kepada orang lain bagi menggunakan rekacipta tersebut atau menjual hak tersebut kepada orang lain yang akan menjadi pemilik baru kepada rekacipta tersebut. 4. Bolehkah pemohon mengetahui samada rekaciptanya adalah sesuatu yang baru sebelum memohon perlindungan? Boleh. Carian boleh dilakukan di Bilik Carian Awam di MyIPO atau melalui capaian internet Patent and Trade Mark Administration System (PANTAS) ke atas dokumen paten Malaysia yang terdahulu. 5. Bolehkah pemohon mendapat perlindungan selepas rekaciptanya diketahui umum sebelum pemohon membuat permohonan? Boleh, dengan syarat pemohon memfailkan permohonan dalam tempoh 12 bulan selepas rekaciptanya dizahirkan. 6. Berapakah jumlah kos permohonan paten dan perbaharuan utiliti? Jumlah kos bagi permohonan paten – RM 1,390 (Manual) dan bagi perbaharuan utiliti – RM 1,240 (Manual). 7. Dimanakah pemohon boleh mendapat bantuan bagi menyediakan permohonan paten? Pemohon boleh mendapat perkhidmatan penyediaan permohonan paten dengan ejen paten yang berdaftar. 8. Adakah setiap permohonan dianggap sulit? Ya, setiap permohonan adalah sulit sehingga selepas 18 bulan dari tarikh prioriti atau tarikh pemfailan permohonan bagi tujuan pemeriksaan awam. 9. Bolehkah pemohon mengambil tindakan mahkamah jika seseorang meniru rekaciptanya semasa permohonan sedang diproses? Tindakan mahkamah tidak boleh diambil semasa permohonan sedang diproses. Walaubagaimanapun, tindakan mahkamah boleh diambil sebaik sahaja pemberian paten dikeluarkan. Hak perlindungan paten bermula dari tarikh pemfailan. 10. Apakah yang berlaku setelah paten luput ? Sebaik sahaja paten luput, pemunya tidak lagi mempunyai hak eksklusif ke atas rekacipta tersebut. 11. Bagaimanakah pemohon ingin mendapatkan perlindungan rekaciptanya di negara lain? Terdapat dua cara dimana suatu rekacipta boleh mendapat perlindungan di negara lain. Permohonan boleh dibuat terus ke negara-negara berkenaan atau melalui sistem permohonan paten antarabangsa (Patent Cooperation Treaty). 12. Apakah itu Triti Kerjasama Paten (PCT)? PCT adalah triti antarabangsa, yang ditadbir oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Organisation - WIPO) dengan lebih 135 buah negara anggota kepada Konvensyen Paris. PCT memberi kemudahan bagi pemfailan permohonan paten antarabangsa ke atas suatu rekacipta di negara lain dengan hanya memfailkan satu permohonan. 13. Di manakah permohonan paten antarabangsa boleh difailkan? Permohonan paten antarabangsa boleh difailkan di MyIPO, yang merupakan Pejabat Penerima (Receiving Office (RO)). 14. Apakah fi yang terlibat bagi memfailkan permohonan paten antarabangsa? Terdapat tiga jenis fi bagi memfailkan permohonan paten antarabangsa : (i) fi pemfailan antarabangsa; (ii) fi carian; dan (iii) fi penghantaran. Pemohon hendaklah membayar hanya satu set bayaran fi berkenaan dalam Ringgit Malaysia. 15. Berapa lamakah proses permohonan paten antarabangsa sebelum memasuki fasa nasional ? Proses permohonan paten antarabangsa mengambil tempoh masa lebih kurang 18 bulan dari tarikh pemfailan sebelum memasuki fasa nasional. Proses permohonan adalah termasuk carian yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Carian Antarabangsa (ISA) dan penerbitan ke atas laporan carian oleh Biro Antarabangsa (WIPO). 16. Apakah itu carian antarabangsa ? Carian antarabangsa adalah carian yang berkualiti ke atas dokumen paten dan bahan rujukan teknikal yang berkaitan. Keputusan laporan carian antarabangsa dan pendapat bertulis oleh ISA adalah mengenai kebaharuan rekacipta permohonan tersebut. 17. Apakah itu penerbitan antarabangsa ? Penerbitan antarabangsa ialah penerbitan kandungan permohonan paten antarabangsa ke seluruh dunia bersama-sama laporan carian antarabangsa oleh WIPO. Ianya diterbitkan selepas 18 bulan dari tarikh prioriti. 18. Apakah itu pemeriksaan permulaan antarabangsa? Pemeriksaan permulaan antarabangsa ialah pemeriksaan ke atas kebolehpatenan (patentability) rekacipta dimana satu laporan akan dikeluarkan mengenai kebolehpatenan rekacipta tersebut. Laporan ini memberi pendapat bertulis keatas kriteria mematuhi kebolehpatenan bagi setiap tuntutan dimana pemeriksaan dijalankan untuk menilai peluang bagi mendapatkan perlindungan paten. 19. Bila dan bagaimanakah permohonan paten antarabangsa memasuki fasa nasional? Pemohon hendaklah membuat permohonan untuk memasuki fasa nasional sebelum tamat tempoh 30 bulan dari tarikh prioriti. Pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat seperti membayar fi memasuki fasa nasional dan mengemukakan satu salinan permohonan antarabangsa dalam Bahasa Inggeris. 20. Apakah faedah PCT? PCT memberi kemudahan bagi pemfailan permohonan paten antarabangsa ke atas suatu rekacipta di negara lain dengan hanya memfailkan satu permohonan dimana sistem pemfailan ini dapat menjimatkan kos. 21. Di manakah permohonan paten dan perbaharuan utiliti boleh dikemukakan? Pejabat Pendaftaran Paten. |


