Select style: Blue | Orange
Soalan Lazim Reka Bentuk Perindustrian

1. Apakah reka bentuk perindustrian?

Reka bentuk perindustrian ialah rupa bentuk luaran secara keseluruhan sesuatu barang atau produk. Bentuk atau tatarajah merupakan aspek tiga dimensi manakala corak atau hiasan merangkumi dua dimensi. Ciri-ciri tiga atau dua dimensi atau kedua-duanya sekali yang terdapat pada suatu barang siap hendaklah melalui kaedah perindustrian. Ciri-ciri tersebut akan memberi suatu penampilan yang unik pada suatu barang atau produk tersebut. 

2. Apakah reka bentuk perindustrian yang tidak boleh dilindungi?

  •   Reka bentuk yang tidak mempunyai nilai estetik yang jelas.
  •   Kaedah atau prinsip pembinaan.
  •   Ciri yang ditentukan semata-mata oleh fungsi (dictated solely by the function).
  •   Ciri yang bergantung kepada rupa suatu barangan lain (integral parts).
  •   Reka bentuk yang mempunyai perbezaan dari segi butir-butir tak material (ketara) atau ciri-ciri biasa yang digunakan dalam suatu perdagangan.
  •   Reka bentuk yang bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral. 

3. Bagaimanakah cara untuk menfailkan permohonan bagi mendaftarkan reka bentuk perindustrian?

Permohonan bagi mendaftarkan reka bentuk perindustrian hendaklah menyertakan:

  •   Borang permohonan RBP 1 yang lengkap diisi dalam Bahasa Malaysia atau Form ID 1 dalam Bahasa Inggeris.
  •   Enam set representasi samada dalam bentuk lukisan ataupun gambar foto.
  •   Satu pernyataan kebaharuan. Walau bagaimanapun bagi pemfailan kertas dinding, lace atau barangan tekstil ia boleh dibuat di lampiran yang berasingan.
  •   Bayaran fi pemfailan yang lengkap.
  •   Pernyataaan yang mewajarkan hak pemohon keatas pendaftaran (statement justifying applicant’s right) perlu dikemukakan semasa pemfailan permohonan sekiranya pemohon bukan pencipta.

4. Bilakah sesuatu permohonan harus difailkan?

Tuntutan hak adalah berdasarkan kepada pertama difailkan atau first to file. Pemohon perlu menfailkan permohonan reka bentuk perindustrian secepat mungkin atau sebelum sesuatu barang itu dizahirkan kepada awam. Sesuatu reka bentuk perindustrian adalah dianggap sebagai rahsia sebelum ianya dizahirkan.

5. Siapakah yang layak memohon untuk mendaftarkan reka bentuk perindustrian?

Pencipta asal suatu reka bentuk perindustrian adalah berhak untuk membuat permohonan. Permohonan boleh dibuat atas nama individu atau syarikat. Bagaimanapun ejen reka bentuk perindustrian boleh dilantik untuk menfailkan permohonan. Sekiranya alamat atau pejabat perniagaan pemohon adalah di luar Malaysia, pemohon perlu melantik ejen yang berdaftar dengan Pendaftar Reka Bentuk perindustrian.

6. Berapa lamakah proses pendaftaran reka bentuk perindustrian?

Suatu permohonan yang lengkap boleh didaftarkan dalam tempoh 8 bulan daripada tarikh penerimaan borang, dokumen dan yuran pemfailan yang lengkap. Walau bagaimanapun tempoh tersebut boleh berlanjutan sehingga 14 bulan sekiranya memerlukan dokumen atau penjelasan tambahan .

7. Berapa lamakah tempoh perlindungan diberi kepada reka bentuk perindustrianyang berdaftar?

Tempoh perlindungan reka bentuk perindustrian berdaftar adalah selama 5 tahun berkuatkuasa dari tarikh pemfailan. Perlindungan tersebut boleh dilanjutkan selama 2 tempoh dimana setiap tempoh perlindungan adalah selama 5 tahun. Tempoh maksima perlindungan ialah 15 tahun.

8. Apakah syarat bagi membolehkan reka bentuk perindustrian itu didaftarkan?

Reka bentuk perindustrian itu hendaklah baru di Malaysia dan ianya tidak pernah dizahirkan kepada awam sebelum permohonan difailkan. Reka bentuk perindustrian tersebut juga hendaklah tidak terdapat dalam Daftar Reka Bentuk Perindustrian.

9. Apakah hak yang diperolehi dengan mendaftarkan reka bentuk perindustrian?

Pemilik reka bentuk perindustrain berdaftar mempunyai hak eksklusif ke atas reka bentuk perindustrian di mana pemilik berhak untuk membuat, mengimport, menjual dan juga melesenkan atau menyewakan apa-apa barang yang menggunakan reka bentuk perindustrian tersebut. Pengguna lain haruslah memperolehi kebenaran pemilik reka bentuk perindustrian berdaftar sebelum menggunakan reka bentuk perindustrian berdaftar berkenaan. Pemilik reka bentuk perindustrian berdaftar boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang melakukan pelanggaran dalam tempoh 5 tahun dari tarikh pelanggaran. 

10. Apakah yang perlu di buat sekiranya pemohon ingin menuntut tarikh prioriti pendaftaran luar negara miliknya?

Pemohon perlu membuat tuntutan semasa pemfailan borang permohonan. Tarikh prioriti dan negara dimana pendaftaran terawal dituntut perlu dicatatkan. Tuntutan perlu dibuat dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pemfailan luar negara. Dokumen prioriti dan terjemahan perlu dikemukakan sebagai bukti.

11. Apakah yang boleh dilakukan sekiranya ada pihak yang meniru reka bentuk perindustrian berdaftar?

Pemilik reka bentuk perindustrian berdaftar berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang menggunakan reka bentuk perindustriannya tanpa kebenaran. Sijil Pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian boleh digunakan sebagai bukti yang sah dalam tuntutan hak milik berkenaan di mahkamah. Pemilik berdaftar boleh mengambil tindakan undang-undang melalui tindakan sivil dibawah peruntukan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 atau tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

12. Bilakah sesuatu barang yang menggunakan reka bentuk perindustrian itu boleh dikeluarkan atau dijual?

Pada bila-bila masa selepas suatu permohonan telah difailkan. Pemilik juga boleh mengeksplotasikan rekabentuk di pasaran antarabangsa. Walau bagaimanapun pemilik hendaklah terlebih dahulu memperolehi perlindungan di negara yang berkaitan. 

13. Bolehkan reka bentuk perindustrian itu didedahkan kepada umum?

Reka bentuk perindustrian boleh didedahkan kepada umum sebaik sahaja ianya didaftarkan. Maklumat dan butiran pendaftaran yang tercatat pada Daftar Reka Bentuk Perindustrian adalah juga terbuka untuk pemeriksaan awam. 

14. Perlukan seseorang itu mendaftarkan reka bentuk perindustriannya?

Sesuatu reka bentuk perindustrian tidak akan mendapat perlindungan sekiranya ia tidak didaftarkan. Bagi membolehkan suatu reka bentuk perindustrian itu dilindungi, ia hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftar Reka Bentuk Perindustrian Malaysia.

15. Adakah pendaftaran di Malaysia memberi perlindungan di seluruh dunia?

Tidak. Pendaftaran di Malaysia memberi perlindungan hanya di Malaysia. Pemilik reka bentuk yang ingin mendapat perlindungan di luar negara perlu menfailkan permohonan di negara berkaitan. Walaubagaimana pun pemohon boleh menggunakan pendaftaran di Malaysia untuk menuntut tarikh prioriti di mana-mana negara yang menjadi ahli Paris Convention dengan syarat permohonan difailkan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pemfailan di Malaysia.

16. Di manakah permohon boleh dikemukakan?

Permohonan surat-menyurat dan pertanyaan hendaklah dimajukan kepada:

Ibu Pejabat 

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Unit 1-7, Aras Bawah,
Menara UOA Bangsar,
No. 5 Jalan Bangsar Utama 1,
59000 Kuala Lumpur
Tel: +603-2299 8400
Faks: +603-2299 8989

     
Pejabat Sabah:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia
Tingkat 6, Blok C,
49, Jalan Karamunsing,
Bangunan KWSP
PO BOX 2068
88999 Kota Kinabalu, Sabah.
     
No. Telefon : +6088 254 524
No. Faks : +6088 257 046
     
Pejabat Sarawak:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia
Lot 9936, (Sub Lot 5), Aras 3, Queen's Court,
93000 Kuching, Sarawak.
 
No. Telefon : +6082 459 075/ +6082 459 076
No. Faks : +6082 455 052

 

 

 

 

 

 

 


 

 

 

 

 

 

Rakan Kami

WIPO