| Maklumat Am Reka Bentuk Perindustrian | |
|
Seksyen 3, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 "...... Reka bentuk perindustrian ialah ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan yang digunakan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses atau cara perindustrian, iaitu ciri yang ada pada barang siap, merupakan ciri yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata ………" . Reka bentuk perindustrian ialah rupa bentuk luaran secara keseluruhan sesuatu barang atau produk. Bentuk atau tatarajah merupakan aspek tiga dimensi manakala corak atau hiasan merangkumi dua dimensi. Ciri-ciri tiga atau dua dimensi atau kedua-duanya sekali yang terdapat pada suatu barang siap hendaklah melalui kaedah perindustrian. Ciri-ciri tersebut akan memberi suatu penampilan yang unik pada suatu barang atau produk berkenaan. Barang dan Set Barang Barang ialah apa-apa barang atau produk perkilangan atau kraftangan dan termasuklah mana-mana bahagian barang atau kraftangan itu jika bahagian itu dibuat dan dijual secara berasingan. Set barang ialah sebilangan barang yang mempunyai sifat umumnya yang sama dan biasanya dijual bersama-sama atau digunakan bersama-sama. Contoh seperti set teko yang terdiri daripada teko, cawan dan piring. Reka Bentuk Perindustrian yang boleh didaftarkan 1. Bentuk dan tatarajah (Ciri 3D) 2. Corak dan hiasan (Ciri 2D) 3. Gabungan kedua-dua ciri (3D dan 2D) Nota: Reka Bentuk Perindustrian yang tidak boleh didaftarkan (i) Tidak mempunyai nilai estetik yang jelas. (Seksyen 3).(ii) Kaedah atau prinsip pembinaan. [Seksyen 3(1)(a)] (iii) Ciri yang ditentukan semata-mata oleh fungsi (Dictated solely by the function) [Section 3(1)(b)(i)]. (iv) Ciri yang bergantung kepada rupa suatu barangan lain (integral parts) [Section 3(1)(b)(ii)]. v) Perbezaan daripada segi butir-butir tidak material (tidak penting) atau ciri-ciri biasa yang digunakan dalam suatu perdagangan [Section 12(2)] Contoh: Pensil bersaiz biasa (Pensil A) yang direka bentuk menjadi lebih pendek (Pensil B) atau berbeza dari segi ketirusan seperti dalam bulatan putus-putus. Pensil A (telah sedia ada dalam pasaran) Pensil B (permohonan baru) – tidak diterima (vi) Bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral. [Seksyen 13]. Pemohon Pihak berikut adalah layak untuk memohon pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian
Pemfailan Pemfailan permohonan reka bentuk perindustrian perlu dibuat secepat mungkin atau sebelum sesuatu barang atau article dipasarkan kepada awam. Kepentingan Pendaftaran a. Hak eksklusif b. Tindakan Pelanggaran Sempadan perlindungan Sesuatu reka bentuk perindustrian yang berdaftar di Malaysia adalah diberi perlindungan hanya di Malaysia. Untuk mendapatkan perlindungan di negara-negara lain, pemohon hendaklah membuat permohonan secara berasingan di setiap negara yang berkaitan. Walau bagaimanapun, sekiranya pemohon ingin mendapatkan Tuntutan Tarikh Prioriti di negara yang menjadi ahli Konvensyen Paris, pemohon hendaklah memfailkan permohonan berkenaan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pemfailan di Malaysia. Tempoh perlindungan Suatu reka bentuk perindustrian berdaftar adalah diberi perlindungan selama 5 tahun dari tarikh pemfailan. Perlindungan boleh dilanjutkan selama 2 tempoh di mana setiap tempoh perlindungan selama 5 tahun. Ini bermakna tempoh maksimum perlindungan ialah selama 15 tahun. Yuran yang berpatutan Berdasar kepada kajian yang dibuat, yuran yang ditetapkan oleh Pejabat Pendaftar Reka Bentuk Perindustrian adalah antara yang terendah di kalangan negara-negara ASEAN. Kesemua yuran yang diterima adalah untuk menampung perbelanjaan mengurus dan operasi pentadbiran perbadanan. Prosedur pendaftaran yang cepat Purata Sijil Pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian dikeluarkan adalah dalam tempoh 8 bulan dari tarikh penerimaan borang, dokumen dan yuran pemfailan yang lengkap. Tempoh tangguhan selama 6 bulan adalah bertujuan menghormati peruntukan Artikel 4(c)(1), Konvensyen Paris (pindaan 28 September 1979). Oleh yang demikian, pejabat ini hanya akan membuat carian dan pemeriksaan kebaharuan yang telah didaftarkan 6 bulan selepas dari tarikh prioriti atau tarikh pemfailan. Carian awam Daftar Reka Bentuk Perindustrian adalah dibuka untuk semakan awam. Butir-butir pendaftaran direkodkan dalam Daftar Reka Bentuk Perindustrian dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan.
|


