Select style: Blue | Orange
Panduan Permohonan Paten

 


Buku Panduan Peperiksaan Paten dan Pembaharuan Pentadbiran Utiliti

Panduan Peperiksaan Paten



Contoh 
format spesifikasi paten

Rekacipta/inovasi hendaklah dinyatakan dengan jelas dan lengkap bagi membolehkan seseorang yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang teknologi menjalankan pemeriksaan ke atas rekacipta tersebut. Perihalan hendaklah dinyatakan dengan menggunakan turutan tajuk  di bawah:
 
(i) "Tajuk"

Tajuk hendaklah terang dan ringkas bagi menyatakan subject matter berhubung dengan rekacipta/inovasi dan hendaklah serupa dengan tajuk dalam borang permohonan dan ringkasan (abstrak).

(ii) "Bidang Teknikal"

Ia adalah pernyataan umum menerangkan tentang seni  atau teknologi berhubung rekacipta/inovasi.

(iii) "Latarbelakang Teknologi"

Ia harus mengandungi ringkasan latar belakang teknologi yang diketahui oleh pemohon yang berguna bagi memahami rekacipta/inovasi tersebut.

(iv) "Penzahiran rekacipta"

Lazimnya ia mengandungi pernyataan mengenai  ciri-ciri yang diperlukan dan alternatif rekacipta serta kelebihan rekacipta/innovasi terhadap teknologi yang terdahulu.
 
(v) "Contoh Spesifikasi"

Termasuklah "Penerangan Tentang Lukisan" (jika ada) Ia hendaklah mengandungi penerangan tentang mod terbaik bagi pemohon untuk menonjolkan hasil rekacipta, menggunakan contoh yang sesuai dan rujukan gambarajah (jika ada).

(vi) Pemakaian dalam mana-mana industri

Cara bagaimana rekacipta dapat digunakan di industri hendaklah ia dinyatakan dengan jelas. Lazimnya kepenggunaan di industri adalah jelas dari perihalan rekacipta dan contoh-contoh spesifik. Walaubagaimanapun di dalam kes-kes yang tertentu sebagai contoh rekaciptanya adalah kandungan kompaun kimia yang baru, kepenggunaan di industri adalah mungkin tidak jelas.

Spesifikasi Paten - Tuntutan

Fungsi utama tuntutan adalah untuk menjelaskan skop perlindungan paten. Tuntutan hendaklah jelas, ringkas dan mesti disokong oleh perihalan yang dizahirkan di bahagian penerangan di dalam perihalan paten. [Peraturan 13 dan14]
 
Tuntutan adalah bahagian yang terpenting dari spesifikasi paten dan disebab oleh sifat perundangannya, adalah mungkin yang paling sukar untuk disediakan. Sebagai contoh, spesifikasi paten boleh menerangkan suatu rekacipta yang berjaya dikomersialkan tetapi disebabkan oleh kelemahan atau kesilapan dalam penderafan, tuntutan mungkin dibatalkan kerana ia telah didrafkan secara terlalu umum menyebabkan ia tidak baru atau tiada langkah merekacipta. Tuntutan juga mungkin dideraf terlalu terhad sehingga mudah bagi pesaing untuk mendapatkan faedah dari rekacipta tersebut tanpa pelanggaran tuntutan.

Tuntutan mesti dimulakan pada muka surat baru dan setiap tuntutan hendaklah ditulis sebagai  satu ayat. Di mana bersesuaian, tuntutan harus menerangkan rekacipta/inovasi terlebih dahulu dengan menyatakan latarbelakang teknologi terdahulu, diikuti oleh bahagian ”characterising".  Bahagian ini menerangkan tentang ciri-ciri rekacipta/inovasi yang ingin dilindungi. Setiap ciri-ciri teknikal yang dinyatakan di dalam tuntutan dan diilustrasikan dalam lukisan harus  diikuti oleh rujukan angka tanda kurungan. Hanya satu tuntutan dibenarkan di dalam spesifikasi perbaharuan utiliti manakala lebih dari satu tuntutan dibenarkan di dalam spesifikasi paten. Walau bagaimanapun tuntutan-tuntutan di dalam spesifikasi paten hendaklah berkaitan dengan rekacipta yang sama. 
 

Spesifikasi Paten – Ringkasan (Abstrak)

Ringkasan adalah penerangan ringkas mengenai penzahiran yang terkandung  di dalam perihalan dan tuntutan.  Ringkasan hendaklah dideraf dengan efisyen untuk tujuan carian teknikal. Ia tidak harus  mengandungi pernyataan  tentang merit atau nilai rekacipta/inovasi. [Peraturan 16]

Ringkasan hendaklah dimulakan pada muka surat baru dengan tajuk rekacipta dan  seringkas yang mungkin dari perihalan (tidak melebihi dari 150 perkataan). Pemohon harus menyatakan lukisan yang sesuai (jika ada) untuk disertakan bersama ringkasan, dalam kurungan di penghujung ringkasan. Setiap ciri-ciri utama yang dinyatakan dalam ringkasan dan diillustrasikan di dalam lukisan hendaklah diikuti oleh angka rujukan di dalam kurungan.

PERHATIAN :

Sebelum menyediakan perihalan, tuntutan dan lukisan, pemohon adalah  dinasihatkan untuk membuat carian ke atas dokumen paten yang terdahulu dan dokumen teknikal  di dalam bidang teknologi yang berkaitan dengan tujuan untuk memperolehi petunjuk tentang kebaharuan rekacipta/inovasi.

 

Rakan Kami

WIPO