PERSIDANGAN GLOBAL INNOVATION INDEX 2017


4 Mei 2017 – Seramai 120 orang yang terdiri daripada pengamal harta intelek, pembuat dasar, ahli akademik serta wakil kementerian dan agensi kerajaan diberi pendedahan mengenai kriteria yang diperlukan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Global Innovation Index (GII).  GII merupakan kedudukan tahunan negara mengikut kejayaan dalam bidang inovasi yang menjadi rujukan untuk membandingkan tahap inovasi sesebuah negara.

Objektif GII adalah memberi fokus kepada pelbagai aspek inovasi dan menyediakan platform untuk membentuk dasar yang menggalakkan pertumbuhan jangka panjang output, produktiviti dan pekerjaan.

Ketika ini Malaysia menduduki tangga ke-35 daripada 128 negara dan kedua dikalangan negara Asean dalam bidang inovasi.

Sementara itu 120 peserta hari ini berpeluang mendengar dan berkongsi pengalaman bersama pakar daripada pelbagai latarbelakang berkaitan inovasi di Persidangan Global Innovation Index 2017 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),dengan kerjasama World Intellectual Property Organisation (WIPO).

Ia dirasmikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato’ Seri Hamzah Zainudin. Hadir sama, Pengerusi MyIPO Dato’ Sri Abdul Manan Ismail serta Ketua Pengarah MyIPO Dato’ Shamsiah Kamaruddin.