DIALOG TN50 ‘HARTA INTELEK: MENUJU 2050’


10 April 2018 – Dalam menyahut seruan Transformasi Nasional 2050 (TN50),Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menganjurkan satu majlis Dialog TN50 bertemakan ‘Harta Intelek: Menuju 2050’ di Dewan Serbaguna KPDNKK di sini, hari ini.

Dialog ini yang menampilkan Menteri KPDNKK, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin bersama dua panelis iaitu Ketua Pengarah MyIPO, Dato’ Shamsiah Kamaruddin, dan Timbalan Ketua Pengarah (Modal Insan) Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Encik Johan Mahmood Merican diadakan bagi membicarakan aspirasi serta hala tuju negara dalam aspek pemerkasaan harta intelek menuju tahun 2050.

Turut hadir Timbalan Menteri KPDNKK, YB Dato’ Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh, dan Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Basaruddin Sadali.

Penganjuran program ini adalah selari dengan hasrat negara untuk mencapai ekonomi                    2 trilion dan menjadi antara 20 negara teratas ekonomi dunia. Antara isi penting yang dibicarakan di dalam dialog ini termasuk kepentingan harta intelek sebagai sumber baru bagi menjana kekayaan dan peranannya dalam merealisasikan TN50. Rejim harta intelek negara perlu membangun seiring dengan kemajuan teknologi, inovasi dan kreativiti dan Malaysia menjadi IP BASED NATION menjelang 2050 bagi melahirkan masyarakat dan ekonomi yang dinamik menerusi generasi strategis dan eksploitasi serta perlindungan harta intelek.

Bagi menjayakan program, MyIPO selaku penganjur juga telah mengumpulkan aspirasi dari stakeholders harta intelek negara bagi dibicarakan di dalam dialog ini yang dihadiri 300 peserta terdiri daripada ejen harta intelek, persatuan usahawan, ahli akademik, penyelidik, persatuan bukan kerajaan, serta warga KPDNKK dan MyIPO, dan lain lain.