MAJLIS ANUGERAH HARTA INTELEK NEGARA


7 September 2018 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan menganjurkan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2018 (AHIN 2018) pada 13 September 2018 ini di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Ia akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato’ Saifuddin Nasution Ismail. Tahun ini merupakan tahun ke-13 penganjuran Anugerah Harta Intelek Negara sejak ia diperkenalkan pada tahun 2006.

Bertemakan “Harta Intelek Tempatan ke Persada Dunia”, AHIN 2018 merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan kreativiti dan inovasi rakyat Malaysia. Terdapat tujuh (7) kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik),Kategori Paten, Kategori Cap Dagangan dan Petunjuk Geografi, Kategori Reka Bentuk Perindustrian, Kategori Hakcipta, Kategori Perekacipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau Setaraf) dan Kategori Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah).

AHIN2018 telah menerima sebanyak 760 penyertaan dari seluruh negara, sekaligus menjadikan penyertaan tertinggi sejak tahun 2013. Pengumuman pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan dibuat semasa majlis anugerah ini minggu depan (13 September). Pemenang akan menerima wang tunai, piala serta sijil penghargaan yang diiktiraf World Intellectual Property Organisation (WIPO).