MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN ANGGOTA TRIBUNAL HAK CIPTA BAGI SESI 1 JULAI 2020 – 1 JULAI 2023


17 Ogos 2020 – Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),Datuk Mohamad Alamin hari ini menyerahkan watikah pelantikan Anggota Tribunal Hak Cipta yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2020 yang lalu selama 3 tahun.

Prof. Madya Rohazar Wati Zuallcobley dilantik sebagai Pengerusi, manakala Prof. Dr. Nazura Abdul Manap sebagai Timbalan Pengerusi.  Ahli tribunal dianggotai Dato’ Kamil Ahmad Mohd Othman, Dato’ Ahmad Dahuri Mahmud, Abdul Aziz lsmail, Othman Masri, Wong Jin Nee dan Mohd Azree Mohd Ariffin. Turut dilantik Rashidah Ridha Sheikh Khalid, Pengarah Bahagian Hak Cipta MyIPO sebagai Setiausaha Tribunal.

Tribunal Hak Cipta berfungsi sebagai satu platform rasmi yang dapat menyelesaikan pertikaian yang melibatkan hak cipta serta menentukan pembayaran saraan yang saksama yang secara tidak langsungnya membantu melincirkan hasil pendapatan di dalam industri kreatif negara.

Menurut Mohamad Alamin, adalah menjadi hasrat Kerajaan dan MyIPO khususnya, agar keseimbangan hasil ekonomi iaitu hasil pendapatan royalti pengkarya–pengkarya hakcipta yang berjaya dikutip dapat dikongsi bersama antara pengurusan badan pelesenan dan ahli-ahlinya mengikut amalan standard badan pelesenan berdasarkan prinsip Transparency, Accountability and Good Governance (TAG).

Malah, katanya, Tribunal Hakcipta dapat menjadi satu badan alternatif Mahkamah yang sangat sesuai bagi mendengar dan memutuskan isu pertikaian pengagihan royalti antara badan pelesenan dan ahli-ahlinya dengan kos yang minimum dan lebih cepat berbanding tindakan di mahkamah.