MAJLIS PERTUKARAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DI ANTARA MyIPO & MYNIC


21 Mac 2019 – Pemilik cap dagangan tempatan kini boleh mendaftarkan nama domain mereka dengan harga yang lebih murah melalui kerjasama yang dijalinkan di antara  Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan MYNIC Berhad.

Pemeteraian MoU tersebut merupakan langkah positif yang diambil oleh kedua-dua agensi dalam menyediakan perlindungan penjenamaan digital kepada pemilik cap dagangan yang telah berdaftar di MyIPO melalui pakej yang ditawarkan iaitu MYMARK.

Pakej MYMARK menawarkan perlindungan ke atas cap dagangan dalam talian yang akan dapat membantu melindungi cap dagangan yang telah berdaftar daripada disalahgunakan oleh cybersquatters atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat empat kategori pakej yang ditawarkan iaitu Pakej Basic 5, Pakej Basic 10, Pakej Premium 5 dan Pakej Premium 10. Bagi Pakej Basic 5, pemohon boleh memilih sehingga 2 nama domain untuk didaftarkan daripada .my; .com.my; .net.my; .org.my; .name.my bagi tempoh pendaftaran selama 5 tahun dan fi yang dikenakan ialah sebanyak RM688 di mana pemohon mendapat diskaun sebanyak 31.2% daripada harga asal. Manakala Pakej Basic 10 pula adalah untuk pendaftaran 2 nama domain selama 10 tahun dengan bayaran RM1,088 dan diskaun sebanyak 45.6%.

Manakala bagi Pakej Premium 5, pemohon boleh memilih antara 3 sehingga 5 nama domain untuk pendaftaran selama 5 tahun dengan bayaran sebanyak RM1,188 dengan diskaun sebanyak 39.4%. Pakej Premium 10 pula ialah untuk pendaftaran 3 sehingga 5 nama domain untuk tempoh 10 tahun dengan bayaran sebanyak RM1,988 dan diskaun sebanyak 49.3%.

Berdasarkan statistik pendaftaran cap dagangan tempatan bagi tempoh lima tahun iaitu 2014 hingga 2018 adalah sebanyak 60,463 mempunyai potensi untuk didaftarkan sebagai nama domain.

Majlis Pertukaran MOU di antara MyIPO dan MYNIC serta pelancaran pakej MYMARK telah dirasmikan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dan turut dihadiri  oleh Dato’ Mohd Roslan Mahayudin, Ketua Pengarah MyIPO, dan Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.