MESYUARAT 20 NEGARA SERANTAU PEJABAT HARTA INTELEK BERKAITAN SISTEM MADRID


4 Februari 2020 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),Datuk Seri Saifuddin Nasution hari ini merasmikan Mesyuarat 20 Negara Serantau Pejabat Harta Intelek Berkaitan Sistem Madrid di ibu pejabat MyIPO dekat sini.

Mesyuarat ini merupakan platform untuk mengukuhkan kapasiti dan produktiviti pejabat-pejabat harta intelek serantau di dalam pelaksanaan Sistem Madrid bagi pemfailan antarabangsa cap dagangan. Selain itu, ia juga diadakan bagi memberi galakan dan pendedahan kepada negara-negara yang masih belum menganggotai Protokol Madrid mengenai kelebihan dalam menyertai protol yang ditadbir oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) itu.

Malaysia secara rasmi melaksanakan Sistem Madrid setelah menyertai Protokol Madrid pada 27 September tahun lalu setelah Akta Cap Dagangan 2019 berkuatkuasa pada 27 Disember pada tahun yang sama. Sistem ini membolehkan pemilik cap dagangan tempatan mendaftarkan cap dagangan mereka di 122 negara di seluruh dunia serta menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan untuk mendapatkan perlindungan cap dagangan oleh negara luar.

Saifuddin Nasution berkata bahawa Sistem Madrid merupakan faktor pemangkin dalam hubungan kerjasama di antara negara-negara ahli Protokol Madrid bagi mempercepatkan pemfailan dan pendaftaran cap dagangan merentas sempadan. ”Oleh itu, saya yakin pelaksanaan Sistem Madrid ini dapat meningkatkan kepesatan perdagangan antarabangsa, seterusnya ekonomi negara,” katanya.

Sejak Sistem Madrid dilaksanakan, MyIPO telah menerima 14 permohonan daripada usahawan tempatan yang memfailkan cap dagangan mereka ke luar negara, manakala 323 cap dagangan antarabangsa diterima menerusi sistem ini.

Selain Malaysia mesyuarat tiga hari ini disertai 24 orang wakil dari negara-negara serantau termasuk Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, Brunei, Cambodia, India, Indonesia, Iran, Lao PDR dan Mongolia.  Wakil daripada Myanmar, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Samoa, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam juga turut hadir.

Hadir sama ke majlis perasmian Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad,  Pengerusi MyIPO, Dr. Rozhan Othman serta Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Rostam Affendi Salleh.  Turut hadir Pengarah Bahagian Operasi Pendaftaran Madrid, Sektor Jenama dan Rekabentuk WIPO, Chen Hongbing dan Pakar Perancangan Cap Dagangan, Pejabat Paten Jepun, Takahiko Naito.