MyIPO HARGAI ANAK AUTISME SEBAGAI SUMBER HARTA INTELEK NEGARA


15 Mac 2018 – Sempena Sambutan Ulangtahun Ke 15 pengkorporatannya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini mengadakan program mesra bersama anak-anak autisme bertempat di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) cawangan Taman Tasik Titiwangsa.

Selain menyampaikan sumbangan berbentuk peralatan belajar dan kerusi meja, warga kerja MyIPO bersama Ketua Pengarahnya Dato’ Shamsiah Kamaruddin turut mengadakan sesi bual-bicara santai bersama anak-anak autisme dan tenaga pengajar Nasom mengenai kepentingan produk inovasi dan perlindungan terhadap harta intelek mereka.

Sesi ini dilaksanakan dengan hasrat membina kefahaman mendalam di kalangan warga Nasom mengenai harta intelek, kerana MyIPO mengambil maklum akan sumbangan anak-anak autisme amnya, dan pelajar di bawah Nasom khasnya, dalam penghasilan produk-produk inovasi di negara ini.

Perbadanan ini difahamkan bahawa Nasom, selaku entiti yang berdedikasi dalam melatih anak-anak autisme membina kemahiran dan perwatakan melalui pelbagai perkhidmatan dan program, menggunakan art therapy dan music therapy dalam silibus latihannya.

Inisiatif ini secara langsung dapat menyumbang kepada pertumbuhan produk inovasi dan harta intelek di Malaysia melalui penghasilan karya-karya seni lukis dan muzik yang bermutu oleh anak-anak istimewa ini.

Selain itu, di dalam program yang dirasmikan Dato’ Shamsiah ini, warga kerja MyIPO seramai 20 orang turut melibatkan diri dengan program sukaneka bersama-sama 70 orang warga Nasom Taman Tasik Titiwangsa. Ini termasuk aktiviti baling gula-gula dalam bakul, bawa bola ping pong dalam sudu, dan permainan musical chair yang diadakan untuk menghiburkan warga Nasom Taman Tasik Titiwangsa.

Majlis perasmian turut menyaksikan Dato’ Shamsiah menyampaikan sumbangan beg dan peralatan persekolahan termasuk buku serta alat tulis kepada 70 pelajar, dan enam set kerusi dan meja serta bantuan kewangan dengan nilai keseluruhan RM9,000 kepada wakil Nasom.

Sempena dengan program ini, MyIPO juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk ibubapa dan penjaga anak autisme untuk menghargai insan-insan istimewa ini serta mengenalpasti dan seterusnya mengasah bakat terpendam mereka. Sesungguhnya setiap manusia ada kelebihan masing-masing, dan mampu menyumbang dengan cara tersendiri.