MyIPO IKTIRAF PEREKACIPTA DI ANUGERAH HARTA INTELEK NEGARA


13 September 2018 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini mengiktiraf seramai 21 perekacipta harta intelek dalam Anugerah Harta Intelek Negara 2018 (AHIN 2018),sebuah pertandingan yang mengangkat perekacipta dan pencipta atas penghasilan harta intelek mereka dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik),Kategori Paten, Kategori Cap Dagangan dan Petunjuk Geografi, Kategori Reka Bentuk Perindustrian dan Kategori Hakcipta. Turut dipertandingkan Kategori Perekacipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau Setaraf) serta Kategori Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah).

AHIN 2018 menerima 760 penyertaan daripada seluruh negara menjadikannya yang paling tinggi sejak ia mula diadakan pada tahun 2006. Anugerah ini adalah bagi menggalakkan serta menanamkan budaya berkreativiti, berinovasi dan merekacipta di kalangan rakyat Malaysia bermula dari peringkat pelajar sekolah, selain menyemai budaya menghormati hak harta intelek orang lain.

Sesuai dengan tema “Harta Intelek Tempatan Ke Persada Dunia’, ia juga menjadi platfom kepada innovator dan perekacipta untuk membina dan melebarkan sayap perniagaan mereka melalui harta intelek yang marketable (kebolehpasaran) dengan menembusi pasaran dalam dan luar negara.

Penerima-penerima anugerah membawa pulang wang tunai, piala serta sijil penghargaan.   Penganjuran AHIN ini juga turut diiktiraf World Intellectual Property Organisation (WIPO) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland melalui pemberian WIPO Award.

Hadiah-hadiah disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail.  Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato’ Sri Jamil Salleh dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Mohd Shahar Osman.