MyIPO IKTIRAF PEREKACIPTA DI ANUGERAH HARTA INTELEK NEGARA


18 Julai 2017 –  Majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2017 dianjurkan buat kali ke-12 tahun ini bertemakan “Harta Intelek Mensejahtera Kehidupan Rakyat”. Majlis perasmiannya disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Jamil bin Salleh mewakili YB Menteri KPDNKK di Bangsar hari ini.

Sebanyak 518 penyertaan diterima untuk tahun ini sekaligus menjadikan penyertaan tertinggi sejak penganjuran kali pertama pada tahun 2006. Penyertaan termasuklah daripada sektor awam dan swasta, universiti, sekolah menengah serta individu.

Tujuh kategori dipertandingkan pada kali ini iaitu Kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), Perekacipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau Setaraf dan kategori Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah).  Turut dipertandingkan Kategori Paten, Cap Dagangan dan Petunjuk Geografi, Reka Bentuk Perindustrian serta kategori Hakcipta.

Pada tahun ini tiga kategori baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Harta Intelek Sektor Koperasi, Anugerah Khas Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Anugerah Khas Inovasi Antarabangsa Peringkat Sekolah Menengah.

Penyertaan dibuka pada Februari yang lalu, manakala sesi penjurian bermula pada 18 April hingga 25 Mei 2017.  Pemenang akan menerima wang tunai, piala serta sijil penghargaan yang diiktiraf World Intellectual Property Organisation (WIPO). Penganjuran AHIN adalah bagi memberi pengiktirafan kepada perekacipta atau pencipta atas sumbangan harta intelek dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

Turut hadir dalam majlis perasmian, Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, serta Ketua Pengarah MyIPO, Dato’ Shamsiah Kamaruddin.