PROGRAM MEET & GREET WITH FRIENDLY MEDIA


29 September 2017 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini menganjurkan Program Meet & Greet with Friendly Media bagi menghargai peranan media dalam menyampaikan berita dan isu mengenai harta intelek. Turut diadakan sesi Dialog TN50 bersama Dato’ Shamsiah Kamaruddin berkaitan Hala Tuju Harta Intelek Negara.

Menurut Dato’ Shamsiah Kamaruddin, program ini diadakan adalah bagi mengukuhkan hubungan kerjasama antara MyIPO dan media. Ini secara tidak langsung menggalakkan penulisan dan hebahan maklumat harta intelek yang tepat dan meluas di kalangan pihak media.

Dato’ Shamsiah turut berkongsi dengan pihak media mengenai inisiatif MyIPO yang antara lain bertujuan meningkatan kesedaran harta intelek di kalangan rakyat Malaysia ke arah membentuk sebuah negara berinovasi. Inisiatif ini termasuklah Technology Innovation Support Center (TISC), IP Easy, IP Funtastic, IP Summer Camp, Sistem Pengurusan Harta Intelek dan Madrid Protocol.

Sebelum itu, beliau turut beramah mesra bersama wakil-wakil media yang hadir dan menyampaikan hadiah cabutan bertuah.