SAMBUTAN HARI HARTA INTELEK NEGARA 2019


4 Mei 2019 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menganjurkan sambutan Hari Harta Intelek Negara 2019 hari ini di Uptown Sports Bangi.

Sebanyak 110 barangan pre-loved atlet Malaysia yang terdiri daripada jersi, peralatan dan barangan sukan kepunyaan atlet negara dan bekas atlet telah dijual kepada orang ramai.

Program Jualan Amal Barangan Pre-loved Atlet Malaysia yang diadakan bersempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2019 ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Sukan Negara (MSN),Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Seramai 38 atlet dan bekas atlet telah menyumbang barangan mereka untuk tujuan ini. Antara yang terlibat adalah Penerjun Negara, Leong Mun Yee, Atlet Tenpin Boling, Syaidatul Afifah, Pelumba Basikal Negara, Jupha Somnet, Jurulatih Kebangsaan, Tan Cheng Hoe serta Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 Tahun Negara, Datuk Ong Kim Swee.

Antara barangan yang mendapat bidaan tertinggi adalah raket badminton Datuk Lee Chong Wei, bola boling Shalin Zulkifli, baju lumba basikal milik Azizul Hasni Awang dan bola Piala AFF Suzuki 2018 yang telah ditandatangani oleh kesebelas pemain utama bola sepak kebangsaan. Hasil jualan barangan pre-loved tersebut akan disumbangkan seratus peratus kepada Tabung YAKEB For X-Athlete, iaitu tabung yang diwujudkan oleh pihak YAKEB bagi membantu bekas-bekas atlet terutamanya bagi menampung perbelanjaan perubatan.

MyIPO turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000.00 untuk tabung berkenaan yang diterima oleh Pengerusi YAKEB, Dato’ Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang melakukan ‘sepak mula’ bagi perlawanan futsal empat penjuru yang melibatkan pasukan selebriti, pasukan MyIPO dan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Datuk Seri Saifuddin turut beraksi dalam perlawanan futsal bersama bekas pemain bola sepak kebangsaan seperti Reduan Abdullah, Subadron Aziz, Khalid Ali, Yap Kam Choon dan Shahril Arsat. Antara yang turut serta adalah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd. Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan & Pengurusan) KPDNHEP, Datuk Rostam Affendi, dan Ketua Pengarah MyIPO, Dato’ Mohd Roslan Mahayudin.

Acara sambutan ini diadakan dengan hasrat meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang peranan harta intelek dalam menyokong kemajuan dunia sukan selari dengan tema Menggapai Emas: Harta Intelek dan Sukan.