SEMINAR PENJENAMAAN DAN SISTEM MADRID BAGI PENDAFTARAN CAP DAGANGAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA


6 November 2019 –  Tuan Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah merasmikan Seminar Penjenamaan dan Sistem Madrid bagi Pendaftaran Cap Dagangan di Peringkat Antarabangsa hari ini di Kuala Lumpur.

Seminar ini telah dihadiri lebih 200 orang usahawan tempatan, pengamal harta intelek dan wakil dari pelbagai agensi Kerajaan untuk berkongsi skop baru dalam Rang Undang-undang Cap Dagangan 2019 yang akan menggantikan Akta Cap Dagangan 1976. Peserta juga didedahkan dengan Sistem Madrid yang merupakan sistem pendaftaran cap dagang global yang membolehkan pemilik cap dagangan mendapatkan perlindungan di beberapa negara melalui satu aplikasi antarabangsa.

Chong Chieng Jen dalam ucapannya menggesa para usahawan untuk mendalami era baharu cap dagangan yang selari dengan Rang Undang-undang Cap Dagangan yang telah diluluskan di Parlimen pada 23 Julai 2019 yang lalu.

Seminar ini merupakan anjuran World Intellectual Property Organization (WIPO) dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Malaysian Intellectual Property Association (MIPA).