SEMINAR PENJENAMAAN DAN SISTEM MADRID BAGI PENDAFTARAN CAP DAGANGAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA


4 November 2019 –  Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah merasmikan Seminar Penjenamaan dan Sistem Madrid bagi Pendaftaran Cap Dagangan di Peringkat Antarabangsa hari ini di Georgetown, Pulau Pinang.

Seminar ini telah dihadiri lebih 150 orang usahawan tempatan, pengamal harta intelek dan wakil dari pelbagai agensi Kerajaan untuk berkongsi skop baru dalam Rang Undang-undang Cap Dagangan 2019 yang akan menggantikan Akta Cap Dagangan 1976. Peserta juga didedahkan dengan Sistem Madrid yang merupakan sistem pendaftaran cap dagang global yang membolehkan pemilik cap dagangan mendapatkan perlindungan di beberapa negara melalui satu aplikasi antarabangsa.

Saifuddin Nasution dalam ucapannya berkata bahawa syarikat Malaysia perlu lebih menyedari perkembangan ini dan mula mempunyai strategi jenama jangka panjang untuk melindungi dan memanfaatkan cap dagangan mereka. Tambahnya, “Jenama yang berjaya disokong oleh perlindungan cap dagangan adalah kunci kepada kewangan syarikat yang mapan”.

Seminar ini merupakan anjuran World Intellectual Property Organization (WIPO) dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Malaysian Intellectual Property Association (MIPA).