SIDANG AKHBAR JUALAN AMAL BARANGAN PRE-LOVED ATLET MALAYSIA


19 April 2019 – Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan termasuk peralatan dan barangan sukan kepunyaan atlet negara dan bekas atlet di jualan amal barangan pre-loved atlet Malaysia yang akan diadakan pada 4 Mei nanti di Uptown Sports Bangi.

Hasil jualan barangan pre-loved tersebut akan disumbangkan seratus peratus kepada Tabung YAKEB For X-Athlete, iaitu tabung yang diwujudkan oleh pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi tujuan membantu bekas-bekas atlet terutamanya bagi menampung perbelanjaan perubatan.

Jualan amal ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Sukan Negara (MSN),Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain YAKEB. Barangan pre-loved atlet Malaysia ini akan dijual melalui dua kaedah, iaitu jualan secara terus dan secara lelongan bagi beberapa barangan yang dikategorikan sebagai ‘premium’ kerana ‘nilainya’.  Ini kerana terdapat beberapa barangan dan peralatan yang pernah digunakan atlet di kejohanan berprestij seperti di Sukan Olimpik, Sukan Sea dan Sukan Asia.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MyIPO ini diadakan sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara merupakan acara tahunan yang turut disambut di seluruh dunia pada 26 April setiap tahun yang dikenali sebagai World Intellectual Property Day.