ZOOM KARTUN 2019


9 Mac 2019 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bersama Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS),Summit Subang USJ dan Red Circle Sdn Bhd mengadakan Program Zoom Kartun 2019 bertempat di pusat membeli belah The Summit USJ, Subang Jaya.

Zoom Kartun 2019 yang merupakan satu pentas kepada pengumpul-pengumpul tegar (collector) kartun, komik dan animasi tempatan di bawah naungan ANIMAS. Zoom Kartun merupakan satu acara tahunan yang diadakan dalam usaha mengetengahkan karya-karya penulis, pelukis komik dan pengumpul karya-karya seni tempatan kepada masyarakat umum.

MyIPO turut serta dalam penganjuran Pertandingan Poster Komik Hakcipta dan menyampaikan taklimat mengenai hakcipta. Sesi taklimat ini dilaksanakan dengan hasrat meningkatkan kefahaman mendalam di kalangan pelukis komik mengenai perlindungan hakcipta ke atas hasil karya mereka.

Seramai 30 orang peserta menyertai pertandingan poster komik hak cipta ini dan hasil karya yang dihasilkan akan menjadi satu bentuk hebahan kepada umum oleh MyIPO dalam meningkatkan kesedaran dan kepentingan hak cipta terutamanya di kalangan golongan penggiat seni ini.

Pada program yang sama, Dato’ Mohd Roslan Mahayudin, Ketua Pengarah MyIPO turut melancarkan Buku Storyboard Animasi yang merupakan buku sulung terbitan Persatuan Animasi Malaysia. Buku ini merupakan buku pendidikan animasi dalam Bahasa Melayu daripada penerbitan animasi tempatan.