
Petaling Jaya, 30 April 2026 – Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN 2026) menjadi pentas pengiktirafan tertinggi kepada para pencipta, inovator dan jenama tempatan yang berjaya mengangkat harta intelek sebagai aset strategik negara.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Armizan Mohd Ali, sekali gus menegaskan komitmen Kerajaan dalam memperkukuh ekosistem harta intelek sebagai pemacu ekonomi negara.
Sebanyak 10 kategori anugerah telah disampaikan yang merangkumi 6 kategori utama iaitu Organisasi Terunggul Harta Intelek (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), Wira Inovatif (Paten), InoReka (Reka Bentuk Perindustrian), Juara Jenama (Cap Dagangan), Nadi Kreatif (Hak Cipta) serta Permata Cilik bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.
Selain itu, 3 Anugerah Khas turut diberikan iaitu Pemerkasaan Harta Intelek dalam kalangan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, Pencapaian Komersial serta Ejen Harta Intelek Terbaik. Majlis ini turut memperkenalkan Anugerah Inspirasi MADANI, yang mengiktiraf atlet, pasukan dan organisasi sukan yang berjaya memanfaatkan harta intelek dalam pembangunan industri sukan negara, selaras dengan tema HHIN 2026.
Turut hadir ialah YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri KPDN; YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar, Ketua Setiausaha KPDN; YB Tuan Riduan bin Rubin, Pengerusi MyIPO; YBrs. Puan Yusnieza Syarmila binti Yusoff, Ketua Pengarah MyIPO; serta barisan pengurusan kanan kementerian dan agensi, anggota Perbadanan MyIPO, rakan strategik HHIN 2026 dan para penerima anugerah yang diraikan.
PENAFIAN | DASAR PRIVASI | NOTIS HAKCIPTA | POLISI KESELAMATAN
©HAKCIPTA TERPELIHARA -PORTAL RASMI PERBADANAN HARTA INTELEK MALAYSIA (MYIPO)