MyIPO15 FUN RIDE 2018


22 April 2018 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menganjurkan Program Kayuhan Mesra MyIPO15 Fun Ride 2018 di Cyberjaya yang telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Basaruddin bin Sadali, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan.

Acara yang diadakan sempena sambutan ulang tahun pengkorporatan MyIPO yang ke-15 telah menerima penyertaan seramai 1,500 peminat sukan berbasikal di Malaysia. Acara ini bertujuan untuk mempromosikan cara hidup sihat melalui aktiviti riadah berbasikal. Selain itu, ia turut mendekatkan lagi MyIPO dengan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan harta intelek di kalangan rakyat Malaysia dan menjelaskan tentang fungsi serta perkhidmatan MyIPO sebagai sebuah badan yang mengawal selia perlindungan harta intelek.

Seramai lebih 100 warga kerja MyIPO turut menyertai MyIPO15 Fun Ride ini bagi sama-sama memeriahkan acara sambutan ulangtahun perbadanan. Walaupun mereka bukan pengayuh tegar tapi tetap bersemangat untuk menyertai acara ini. Para peserta menggunakan pelbagai jenis basikal termasuk road bike, mountain bike, folding bike, fixie bikes, touring bike mengikut dua kategori laluan yang disediakan iaitu laluan 25 kilometer atau laluan 10 kilometer.

Manakala bandar pintar Cyberjaya menjadi lokasi pilihan MyIPO untuk aktiviti yang julung kali diadakan ini kerana rekabentuk geografinya yang menampilkan laluan menarik untuk acara berbasikal, di mana peserta akan berkayuh di sekitar bangunan pejabat syarikat-syarikat multinasional dan komersial, persisiran tasik serta meliputi hampir keseluruhan bandar Cyberjaya.