ANUGERAH HARTA INTELEK NEGARA 2020


10 Disember 2020 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini mengiktiraf sumbangan dan penghasilan harta intelek dari aspek inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar institusi kemahiran dan pelajar sekolah menengah dalam Anugerah Harta Intelek Negara 2020 (AHIN 2020).

Pada tahun ini, Majlis AHIN buat julung kalinya diadakan secara maya sebagai langkah berjaga-jaga berikutan pandemic COVID-19. Malah sesi penjurian turut diadakan secara dalam talian melalui penyertaan yang dihantar menerusi emel beserta dengan video persembahan yang menerangkan tentang rekacipta para peserta. Selain itu, hadiah kepada pemenang-pemenang anugerah berupa piala dan sijil penghargaan akan dihantar secara pos.

AHIN 2020 menerima 138 penyertaan dari seluruh negara melalui dua kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Perekacipta Harta Intelek dan Kategori Perekacipta Muda Harta Intelek. Finalis bagi AHIN 2020 peringkat kebangsaan merupakan pemenang-pemenang pingat emas yang telah bersaing di peringkat zon.

Pemenang bagi Kategori Perekacipta Harta Intelek adalah Kolej Vokasional Alor Setar, Kedah (Emas), Politeknik Banting, Selangor (Perak), dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Terengganu (Gangsa). Manakala Pemenang bagi Kategori Perekacipta Muda Harta Intelek adalah SMK Tun Tijah, Melaka (Emas), Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya (Perak), dan SMK Tengku Lela Segara, Marang Terengganu (Gangsa).

Anugerah pada tahun ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek kreativiti, kualiti produk, aplikasi produk, faedah serta nilai tambah produk di mana fokus utama adalah pada keaslian dan kecenderungan inovasi yang dapat mendorong kepada manfaat kepada persekitaran dan masyarakat.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pengarah MyIPO, Dato’ Mohd Roslan Mahayudin, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) MyIPO, Zulkarnain Muhammad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Fatimah Rohada Dahlan.