DEFINISI CAP DAGANGAN
Cap Dagangan ertinya apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.
Tanda termasuklah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, lable, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, urutan gerakan atau apa-apa gabungannya.
Cap Kolektif adalah suatu tanda yang menunjukkan barang-barang atau perkhidmatan anggota persatuan yang merupakan tuan punya cap kolektif daripada perusahaan yang lain.
Cap perakuan adalah suatu tanda yang membezakan barang-barang atau perkhidmatan dengan tanda itu hendaklah digunakan adalah diperaku oleh tuan punya cap perakuan berkenaan dengan tempat asal, bahan, cara pengilangan barang-barang atau pelaksanaan perkhidmatan, kualiti, ketepatan atau ciri-ciri lain.
LARANGAN MENGENAI PENDAFTARAN
- MEMPERDAYAKAN ATAU MENGELIRUKAN
Jika penggunaannya memperdayakan atau menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai atau akan berlawanan dengan undang-undang; - SKANDAL ATAU MENYINGGUNG
jika ia mengandungi atau terdiri dan apa-apa perkara skandal atau menyinggung atau pun tidak berhak mendapat perlindungan mana-mana mahkamah undang-undang - MEMUDARATKAN TERHADAP KEPENTINGAN ATAU KESELAMATAN NEGARA
Pendaftar bertanggungjawab dalam menentukan pendaftaran cap dagangan sekiranya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepèntingan atau keselamatan negara.
FUNGSI CAP DAGANGAN
- Fungsi Asal – Cap Dagangan ialah ia dapat menunjukkan sumber yang bertanggungjawab mengeluar atau menjual sesuatu barangan atau perkhidmatan.
- Fungsi Pemilihan – Cap Dagangan memudah dan mempercepatkan pengguna membuat pilihan semasa membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan.
- Fungsi Kualiti – Pengguna memilih cap-cap tertentu kerana berkeyakinan barang barang atau perkhidmatan berkenaan terjamin kualitinya.
- Fungsi Pemasaran – Peranan cap dagangan selaku alat pengiklanan sangat berkesan. Menjadi kebiasaan pengguna membeli sesuatu keluaran kerana terpengaruh dengan iklan yang berterusan.
- Fungsi Ekonomi – Cap-cap yang telah ‘established’ di pasaran menjadi aset yang sangat bernilai. Cap tersebut boleh dilesenkan atau di ‘franchise’kan.
KEPENTINGAN PENDAFTARAN CAP DAGANGAN
Keistimewaan pendaftaran harta intelektual didalam cap dagangan adalah melalui penggunaan dalam urusan perniagaan dan disediakan untuk:
- Hak Eksklusif – Pemilik cap dagangan berdaftar mendapat hak ekslusif untuk menggunakan cap dagangan berkenaan dalam urusan/perjalanan perdagangan. Pemilik cap dagangan juga berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang mungkin menggunakannya tanpa kebenaran
- Bukti sah undang-undang – Sijil pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar menjadi bukti sebagai pemilik yang sah ke atas sesuatu cap dagangan. Bukti ini diterima di mahkamah dan juga pihak penguatkuasaan. Ia juga merupakan dokumen penting untuk membuktikan ‘kesahan’ hak milik cap dagangan dalam urusan pengeksportan barangan ke luar negeri.