DEWAN NEGARA LULUS RUU PATEN (PINDAAN) 2021, RUU HAK CIPTA (PINDAAN) 2021 DAN RUU PETUNJUK GEOGRAFI 2021


22 Disember 2021- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Paten (Pindaan) 2021, Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-undang Petunjuk Geografi 2021.

Kesemua rang undang-undang itu masing-masing diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

RUU Paten (Pindaan) 2021 mengandungi 69 fasal pindaan yang telah mengambil kira komitmen Malaysia dalam Perjanjian TRIPS berkaitan kesihatan awam, Perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) dan Perjanjian Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP). Pindaan ini juga dilaksanakan bagi mematuhi peruntukan Budapest Treaty yang seterusnya membolehkan Malaysia menjadi ahli Budapest Treaty on the International Recognition of the Deposit of Microorganisms for the Purposes of Patent Procedure.

Sementara itu, Datuk Rosol ketika membentangkan Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 berkata pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 [Akta 332] adalah bagi memastikan memastikan pindaan Akta 332 ini memberi perlindungan hak cipta yang sewajarnya termasuk melaksanakan pengecualian hak yang dibenarkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Pindaan ini juga sebagai persediaan bagi Malaysia untuk menyertai Marrakesh Treaty To Facilitate Access To Published Works For Persons Who Are Blind, Visually Impaired Or Otherwise Print Disabled (Marrakesh Treaty) bagi mengiktiraf hak OKU penglihatan untuk mendapatkan karya dalam format boleh akses.

Datuk Rosol semasa membentangkan Rang Undang-undang Petunjuk Geografi 2021 pula berkata rang undang-undang itu mempunyai 15 bahagian yang mengandungi 101 fasal satu jadual.

Beliau berkata, antara bahagian yang terkandung dalam rang undang-undang itu adalah Daftar Petunjuk Geografi dan Rekod Pendaftar; Tempoh Pendaftaran dan Pembaharuan Pendaftaran; Ejen Petunjuk Geografi dan Penyiasatan dan Penguatkuasaan.

Akta Petunjuk Geografi 2000 [Akta 602] digubal selaras dengan keperluan untuk melindungi petunjuk geografi yang berdaftar atau tidak berdaftar di Malaysia, selaras dengan Perjanjian Trade-Related Aspects of Intellectual Property Rights (TRIPS) yang telah ditandatangani oleh Malaysia dan berkuat kuasa pada 1 Jan 1995.