MAJLIS DIALOG YB MENTERI BERSAMA MEDIA: PEMODENAN PERUNDANGAN CAP DAGANGAN DI MALAYSIA


23 Oktober 2019 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah mengadakan Majlis Dialog YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Bersama Media – Pemodenan Perundangan Cap Dagangan di Malaysia.

Bercakap pada majlis dialog berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution memberitahu Akta Cap Dagangan 2019 akan menggantikan Akta Cap Dagangan 1976 yang akan berkuatkuasa pada 27 Disember 2019.

“Objektif utama pindaan Akta Cap Dagangan adalah untuk mewujudkan sistem pendaftaran dan perlindungan cap dagangan yang moden, komprehensif dan efektif yang dapat memenuhi keperluan komuniti perniagaan dan selaras dengan perkembangan harta intelek antarabangsa” katanya pada sesi tersebut.

Akta Cap Dagangan 2019 yang diluluskan di Parlimen Julai lepas antara lain membolehkan negara menyertai Protokol Madrid bagi memudahkan usahawan tempatan membuat pendaftaran jenama produk mereka di 122 negara.

Selain itu, beliau berkata, pemohon hanya perlu menggunakan satu permohonan tunggal dalam satu bahasa, dan membuat bayaran mengikut satu struktur fi untuk memohon perlindungan cap dagangan di pelbagai buah negara.