MAJLIS PELANCARAN DANA PEMFAILAN HARTA INTELEK 2.0


25 Januari 2022 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini melancarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM4 juta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi tempoh empat tahun, bermula pada tahun ini hingga 2025.

Dana ini yang merupakan peruntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dijangka memberi manfaat kepada 2,000 usahawan terutamanya daripada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Ia merangkumi pembiayaan fi bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek termasuk kos bagi kerja yang memerlukan khidmat profesional dan teknikal seperti penderafan paten.

Menerusi dana ini, Kerajaan akan membiayai kos pemfailan cap dagangan, paten, hak cipta, rekabentuk perindustrian dan petunjuk geografi. Pemberian dana ini bertujuan meringankan beban usahawan-usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsang ekonomi negara. Selain itu dana ini juga turut membantu meningkatkan pemfailan harta intelek tempatan.

Sebelum ini MyIPO turut menawarkan dana yang sama pada 2016 sehingga 2020 di bawah Rancangan Malaysia ke-11 berjumlah RM2.5juta. Sepanjang tempoh tersebut, seramai 1,465 usahawan telah mendapat manfaat melalui pemberian dana ini.

Sementara itu dalam majlis hari ini seramai 100 usahawan hadir memohon dana yang ditawarkan. Permohonan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 juga boleh dibuat secara dalam talian atau hadir ke Ibu Pejabat dan Cawangan MyIPO berhampiran.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam-Zam Ahmad serta Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNHEP Datuk Roziah Abudin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) Datin Roszanina Wahab.