MAJLIS PERTUKARAN MOU ANTARA MYIPO DAN TECHNOLOGY DEPOSITORY AGENCY BERHAD (TDA) BAGI PROGRAM TISC


29 Oktober 2021 – Satu Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Technology Depository Agency Berhad (TDA) mengenai jalinan kerjasama strategik bagi Program Technology and Innovation Support Center (TISC) telah diadakan pada hari ini secara siaran langsung di FB live MyIPO dan TDA.

Pertukaran MOU ini telah dilakukan oleh YBrs. Tuan Abdul Haris Bin Haji Lakar, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan YBrs. Dr. Sharoul Bin Jambari, Ketua Pegawai Eksekutif TDA serta disaksikan oleh YB Tuan Mohd Shahar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I.

MyIPO merupakan Focal Point yang bertindak sebagai penyelaras bagi semua aktiviti TISC di Malaysia di antara World Intellectual Property Organization (WIPO) dan TISC Host Institutions yang terdiri daripada organisasi tempatan. Melalui memorandum persefahaman ini, TDA merupakan Host Institution TISC yang ke-16 yang akan menerima kemudahan akses data serta latihan yang mampu untuk meningkatkan kefahaman mengenai perlindungan serta pengurusan harta intelek.

Kerjasama dan kolaborasi antara MyIPO dan TDA akan mewujudkan ruang di antara dua pihak melalui program yang ditawarkan seperti kursus bidang pengkomersialan dan Technology Remote Mentorship Program di mana ia dapat membantu TDA dalam mengenalpasti, mengatur, serta menyediakan pelan dan strategi pelaksanaan yang realistik dan juga mampu dicapai.

Program ini turut mampu meningkatkan peluang pembangunan serta pemindahan teknologi kepada industri tempatan yang merupakan sebahagian daripada objektif Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme – ICP).

YB Tuan Mohd Shahar merakamkan ucapan tahniah kepada MyIPO dan TDA di atas kejayaan memorandum persefahaman yang telah termeterai melalui program Technology and Innovation Support Centre (TISC) serta berharap agar usahasama ini dapat membantu Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dalam mengenal pasti teknologi baharu yang berupaya untuk membawa pertumbuhan sosioekonomu yang inklusif, bertanggung jawab dan mampan melalui pelaksanaan ICP.