MALAYSIA SECARA RASMI MENYERTAI TRITI BUDAPEST DAN TRITI MARRAKESH


KUALA LUMPUR, 31 Mac 2022 – Malaysia secara rasmi menyertai Triti Budapest dan Triti Marrakesh  yang ditadbir Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) seterusnya menjadi ahli dan mematuhi peruntukkan kedua-dua perjanjian tersebut.

Selaras dengan itu, Malaysia hari ini mendepositkan instrumen penyertaan Budapest Treaty on the International Recognition of the Deposit of Microorganisms for the Purposes of Patent Procedure (Budapest Treaty) dan juga Marrakesh Treaty To Facilitate Access To Published Works For Persons Who Are Blind, Visually Impaired Or Otherwise Print Disabled (Marrakesh Treaty) di ibu pejabat WIPO di Geneva. Dokumen tersebut ditandatangani Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi  dan diserahkan oleh Wakil Tetap Malaysia Ke PBB di Geneva, Datuk Dr.Ahmad Faisal Muhamad kepada Ketua Pengarah WIPO, Darren Tang.

Penyertaan Malaysia dalam Triti Budapest akan membolehkan pengiktirafan simpanan mikroorganisma bagi tujuan prosedur paten. Melalui triti ini pemohon paten hanya perlu menyimpan sampel mikroorganisma di satu International Depositary Authority (IDA) sahaja. Ini akan mengelakkan pengulangan prosedur penyimpanan di pelbagai negara apabila pemohon memfailkan permohonan paten di pelbagai negara ahli Triti Budapest.

Manakala penyertaan Malaysia sebagai anggota Marrakesh Treaty akan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara dengan memberi pengecualian daripada mendapatkan kebenaran pemunya hak cipta untuk membuat dan mengedarkan bahan bacaan dalam format boleh akses (accessible format copy) bagi golongan OKU penglihatan.

Ini merupakan usaha kerajaan dalam menambahbaik ketersediaan bahan pendidikan dalam format boleh akses untuk orang buta, kurang penglihatan & print disabled. Melalui Triti ini pengecualian akan diberikan kepada perlindungan hak cipta termasuklah keperluan untuk membayar royalti seterusnya menggalakkan integrasi sosial dan penyertaan kebudayaan kepada orang kurang upaya melalui akses yang sama rata.

Ia juga bertujuan meningkatkan akses kepada bahan bacaan dalam format boleh akses dari luar negara dan memberi manfaat kepada golongan OKU penglihatan khususnya dalam bidang pengajian tinggi dan penyelidikan. penyertaan Malaysia ini akan memberikan akses lebih luas kepada kira-kira 51,323 orang OKU penglihatan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat terhadap bahan bacaan dalam format boleh akses.

Penyertaan kepada Perjanjian Marrakesh mencerminkan komitmen Malaysia terhadap kewajipan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya (UNCRPD). Ia juga menunjukkan sokongan padu Malaysia terhadap Agenda 2030 dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) khususnya SDG 1 – Menamatkan Kemiskinan; SDG 4 – Pendidikan Berkualiti; SDG 5 – Kesaksamaan Gender; dan  SDG 10 – Mengurangkan ketidaksamaan.