PERISYTIHARAN MUSIC RIGHTS (SARAWAK) BERHAD
SEBAGAI BADAN PELESENAN MUZIK


26 Februari 2022 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini menyerahkan sijil pengishtiharan Music Rights (Sarawak) Berhad (MRSB) sebagai badan pelesenan yang diiktiraf oleh kerajaan untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman tempatan melibatkan etnik tempatan di Sarawak.

MRSB merupakan antara badan pelesenan yang terkini diisytihar oleh Pengawal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang diberi kuasa mengutip royalti muzik dan mewakili ahli-ahli ekslusif pemilik dan pencipta karya muzik, rakaman bunyi dan persembahan pelaku etnik Sarawak.

Badan-badan pelesenan yang sedia ada yang merangkumi kategori muzik merupakan Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP), Public Performance Berhad (PPM), Recording Performers Berhad (RPM) dan Music Right Sabah Berhad (MRS), manakala yang merangkumi kategori filem MPLC Sdn.Bhd dan yang merangkumi kategori sastera Malaysia Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC)

Penubuhan dan pengiktiran MRSB sebagai badan peselenan antara lain akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya dalam menguruskan hak royalti mereka di samping menjaga kebajikan mereka dalam industri muzik.  Antara ahli yang bernaung di bawah badan ini ialah pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman.

Sijil perisytiharan ini diserahkan Dato Sri Alexander kepada Pengerusi MRSB, Encik Gibson Rentap.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah MyIPO, Dato’ Chua Tee Yong, Datuk Kamarlin Ombi, Datu Dr.Rashidah Bolhassan dan Siti Norazlina Seni.  Turut hadir Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar dan Pengarah Urusan MRSB, Puan Juliet Tan.

.