PROGRAM IP CARE


2 Jun 2022 –Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui Program IP Care untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai harta intelek kepada para usahawan di bawah bimbingan MARDI termasuk melindungi jenama dan inovasi produk yang dihasilkan.

Menurut Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar, program IP Care adalah inisiatif kolaborasi penting yang mampu menawarkan akses lebih luas kepada para usahawan secara holistik dan bersepadu dalam proses pembangunan sesuatu produk.

Kolaborasi menerusi Program IP Care adalah julung kali dianjurkan oleh MyIPO dengan sokongan Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan (TE) MARDI yang diberi mandat untuk menjalankan aktiviti pemindahan teknologi kepada golongan sasar serta membangunkan usahawan tekno yang menggunapakai teknologi dijana oleh MARDI dalam bidang industri asas tani, pertanian dan ternakan. Antara lain, fungsi Pusat TE adalah memindahkan teknologi yang diperlukan bagi menyokong transformasi mempromosi dan memindahkan hasil-hasil penemuan R&D (Teknologi) MARDI kepada kumpulan sasar.

“Kami sangat optimistik bahawa kerjasama ini akan mencipta lebih banyak peluang kepada usaha untuk mendapat pendedahan dan pengetahuan tentang harta intelek yang kini semakin digunakan sebagai instrumen strategik dalam menjana nilai dan keuntungan perniagaan;” katanya semasa ucapan perasmian Program IP Care di sini.

Kemudahan lain yang disediakan oleh MyIPO termasuk Dana Pemfailan Harta Intelek dengan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi tempoh empat tahun, bermula pada tahun 2022 hingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia ke-12. Dana ini membiayai kos pemfailan cap dagangan, paten, hak cipta, rekabentuk perindustrian dan petunjuk geografi.

Seiring dengan perkembangan dan pemulihan ekonomi selepas terkesan dengan pandemik Covid-19, beliau turut menyeru supaya lebih ramai usahawan, pelajar, pemilik hasil kreatif atau pemilik inovasi untuk mendaftarkan harta intelek mereka supaya memperolehi hak eksklusif ke atas jenama, reka cipta, reka bentuk, dan karya yang dihasilkan.

Seramai 80 orang usahawan hadir pada program IP Care yang merangkumi taklimat pengenalan kepada komponen harta intelek, perkongsian aspek pembungkusan produk, reka bentuk penguatkuasaan hak harta intelek dan juga sesi padanan perniagaan. Turut diadakan jualan produk usahawan di bawah bimbingan MARDI.

Hadir sama ke program tersebut adalah Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Zulkarnain Muhammad.