SEMINAR TRITI MARRAKESH


28 Ogos 2018 – Selari dengan usaha Malaysia untuk menyertai Triti Marrakesh, satu seminar kebangsaan telah dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kerjasama World Intellectual Property Organization (WIPO) dan the International Federation of Library Associations (IFLA) di Ibu Pejabat MyIPO hari ini.

Seminar ini diadakan bagi menjelaskan isu-isu utama berkaitan Triti Marrakesh serta meningkatkan kefahaman di kalangan pihak berkepentingan bagi memastikan penyertaan Malaysia ke dalam triti ini dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang ditetapkan iaitu pada suku keempat tahun 2018.

Intipati utama Triti Marrakesh ini adalah pelaksanaan pengecualian karya hak cipta terhadap keperluan orang kurang penglihatan untuk mendapatkan akses kepada karya-karya dalam format boleh akses melalui ‘Authorize Entity’.

Melalui Pengecualian bersyarat yang diberikan kepada ‘Authorized Entity’ ini, sebarang karya boleh dilakukan tanpa memerlukan keizinan daripada pemegang hak karya hak cipta tersebut.

Penyertaan Malaysia ke dalam Triti Marrakesh dapat memberi faedah kepada golongan kurang upaya penglihatan bagi mendapatkan akses kepada bahan-bahan hak cipta seperti penerbitan buku format braille dan sebagainya. Sehingga hari ini,  triti ini telah disertai 41 buah negara.

Seminar ini disertai lebih 80 peserta terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, penerbit-penerbit buku, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan Copyright Society Organization (CSO). Antara pembentang kertas kerja termasuklah dari World Intellectual Property Organisation (WIPO), the International Federation of Reproduction Rights Organisations (IFRRO), the National Library Service for the Blind and Physically Handicapped Library of Congress United States, Digital Accessible Information System (DAISY) Consortium New Delhi India, Celia Finland, International Publishers Association (IPA) Geneva, Accessible Information Library Services Vision Australia serta dari National Council for the Blind Malaysia (NCBM), Malaysian Books Publishers Association, (MABOPA) and St. Nicholas’ Home Penang.