26 April 2022 – Hari ini Malaysia menyambut Hari Harta Intelek Negara 2022 bersempena dengan Hari Harta Intelek Sedunia yang jatuh pada tarikh 26 April setiap tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Hari Harta Intelek Negara 2022 adalah ruang untuk golongan belia mengetahui bagaimana harta intelek boleh menyokong matlamat mereka, membantu mengubah idea mereka menjadi nyata, menjana pendapatan, mencipta pekerjaan dan memberi kesan positif kepada dunia di sekeliling mereka.
“Belia merupakan penentu masa depan sesuatu masyarakat dan negara. Sebagai sebuah negara berbilang kaum yang pesat membangun ke arah pembinaan Keluarga Malaysia yang bersatu padu, Malaysia sangat bergantung kepada golongan belia yang aktif, kreatif dan progresif,” katanya dalam ucapan khas sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2022 menerusi video yang dimuatnaik dalam akaun Facebook MyIPO, pagi tadi.
Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi turut mengajak golongan belia untuk berinovasi dan menerokai peluang dan ruang yang ada sehingga mampu melonjakkan keupayaan diri dan kemajuan negara.
Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2022 bertemakan ‘Belia Berinovasi: Aspirasi Keluarga Malaysia’ yang dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang kepentingan perlindungan harta intelek dan menghormati hak harta intelek.
PENAFIAN | DASAR PRIVASI | NOTIS HAKCIPTA | POLISI KESELAMATAN
©HAKCIPTA TERPELIHARA -PORTAL RASMI PERBADANAN HARTA INTELEK MALAYSIA (MYIPO)