SOALAN LAZIM
Apakah dia Tribunal Hakcipta?
Tribunal Hak Cipta ditubuhkan bagi mendengar tuntutan sesiapa yang berminat untuk mendapatkan permohonan untuk kegunaan karya berhakcipta.dan juga bagi mendapatkan tuntutan relif terhadap pengendali skim pelesenan hakcipta.
Siapakan yang boleh membuat aduan di Tribunal Hakcipta
a) Pelaku
Iaitu pelakon, penyanyi, pemuzik, penari atau mana-mana orang yang berlakon, menyanyi, menyampaikan, mendeklamasi, memainkan, menginterpretasi, atau selainnya membuat suatu persembahan
b) Pengendali
Iaitu pengendali skim pelesenan samada perseorangan atau organisasi yang telah diisytiharkan oleh Pengawal Hakcipta sebagai Badan pelesenan yang sah
c) Seseorang atau organisasi
Individu atau organisasi yang menggunakan skim pelesenan yang ditawarkan oleh Pengendali
d) Badan Pelesenan
Badan pelesenan yang dibatalkan perisytiharannya atas sebab-sebab tertentu oleh Pengawal Hakcipta
e) Pihak-pihak yang berkepentingan
Seseorang yang berhasrat atau pihak yang berkepentingan yang ingin mendapatkan permohonan lesen bagi terjemahan suatu karya sastera dalam bahasa asing dan diterbitkan ke dalam bahasa kebangsaan atau vernakular.
Apakah jenis aduan yang boleh dibawa ke Tribunal Hakcipta?
Tribunal Hakcipta boleh mendengar dan memutuskan isu-isu yang dibawa oleh orang yang berminat ‘interested person’ seperti berikut:
1. Aduan daripada pelaku:
Mendengar dan memutuskan permohonan tuntutan Pelaku berkaitan pembayaran hak saraan saksama daripada pengendali skim pelesenan hakcipta
2. Aduan daripada pengendali lesen hakcipta
Mendengar dan memutuskan apa jua isu rujukan oleh pengendali, seseorang atau organisasi berkaitan skim pelesenan hakcipta yang ditawarkan kepada pengguna skim pelesenan tersebut
3. Rayuan oleh Badan Pelesenan
Mendengar dan memutuskan rayuan oleh badan pelesenan yang dibatalkan perisytiharannya oleh Pengawal Hakcipta
4. Permohonan bagi penterjemahan
Mendengar dan memutuskan permohonan mendapatkan lesen permohonan bagi terjemahan suatu karya sastera dalam bahasa asing yang hendak diterbitkan ke dalam bahasa kebangsaan atau vernakular.
Bilakah Tribunal Hakcipta ditubuhkan?
Tribunal hakcipta ditubuhkan di bawah seksyen 28 Akta Hakcipta 1987 (Akta 332) melalui Akta Hakcipta (Pindaan) 2012 yang berkuatkuasa pada 1hb Mac 2012.
Siapakah ahli-ahli Tribunal Hakcipta?
Tribunal Hakcipta adalah satu badan kehakiman bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Hakcipta 1987 yang dianggotai oleh seorang Pengerusi, lima (5) Timbalan Pengerusi dan dua belas (12) anggota lain yang dilantik oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Pengerusi Tribunal Hakcipta dilantik daripada seorang Hakim Mahkamah Tinggi manakala anggota-anggotanya pula adalah orang yang mempunyai kepakaran yang berkaitan dalam perindustrian, perdagangan, ekonomi, undang-undang, kreatif, atau hal-ehwal pengguna. Tempoh perlantikan bagi Pengerusi dan anggota adalah tidak melebihi tiga (3) tahun daripada tarikh lantikan.
Di manakah pihak-pihak yang berminat boleh mendapatkan khidmat Tribunal Hakcipta?
Sesiapa yang berminat bagi mendapatkan maklumat mengenai Tribunal Hak Cipta boleh menghubungi kami seperti berikut:
Setiausaha Tribunal Hakcipta
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Aras 5, Menara MylPO, PJ Sentral,
Lot 12, Persiaran Barat, Seksyen 52,
46200 Petaling Jaya, Selangor.
copyrightribunal@myipo.gov.my