
22 April 2026 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menjayakan program bersama pelajar sekolah sukan di seluruh negara, IP Talk – GAME ON: CREATE. PROTECT. OWN, sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2026.
Program ini telah dilancarkan secara rasmi pada 16 April 2026 di Sekolah Sukan Bukit Jalil oleh Ketua Pengarah MyIPO, YBrs. Puan Yusnieza Syarmila Yusoff, sekali gus menandakan bermulanya inisiatif strategik untuk memupuk kesedaran harta intelek (IP) dalam kalangan atlet pelajar dan inovator muda.
Susulan itu, program ini diperluaskan secara serentak hari ini, 22 April 2026, ke lima lagi sekolah sukan di seluruh negara, iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor; Sekolah Sukan Malaysia Terengganu; SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Kedah; Sekolah Sukan Malaysia Sabah; dan SMK Tabuan Jaya, Sarawak.
Bertemakan “Harta Intelek, Nadi Malaysia MADANI: Dari Idea ke Podium”, program ini mengetengahkan hubungan yang semakin erat antara sukan, kreativiti, dan inovasi. Ia bertujuan memberi inspirasi kepada pelajar untuk menyedari bahawa kejayaan bukan sahaja dibina atas bakat fizikal dan disiplin, tetapi juga melalui idea yang boleh dilindungi dan dijadikan aset berharga.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MyIPO dalam membina generasi yang peka terhadap IP bermula dari peringkat akar umbi, di samping menggalakkan pelajar untuk bukan sahaja menjadi juara sukan masa hadapan, malah sebagai pencipta, inovator, dan pemilik kepada idea mereka sendiri.
Program peringkat kebangsaan ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian.
PENAFIAN | DASAR PRIVASI | NOTIS HAKCIPTA | POLISI KESELAMATAN
©HAKCIPTA TERPELIHARA -PORTAL RASMI PERBADANAN HARTA INTELEK MALAYSIA (MYIPO)