
PETALING JAYA, 13 MAC 2026 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah mengambil inisiatif awal untuk meningkatkan kesedaran mengenai Pembiayaan Berasaskan Harta Intelek (IP Financing) dalam kalangan pemain industri kreatif melalui penganjuran seminar di Petaling Jaya.
Program siri pertama ini menghimpunkan pemilik harta intelek, pemain industri kreatif, institusi kewangan serta pakar penilaian IP bagi memperkukuh ekosistem pengkomersialan dan pembiayaan IP di Malaysia. Seminar ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah MyIPO, YBrs. Puan Yusnieza Syarmila Yusoff, yang menekankan kepentingan IP sebagai aset ekonomi yang boleh dimanfaatkan untuk pembiayaan dan pelaburan, bukan sekadar perlindungan undang-undang.
Program ini bertujuan mengubah perspektif industri daripada “melindungi idea” kepada “mengkomersialkan aset”, di samping memberi pendedahan mengenai penilaian nilai IP serta membuka ruang kerjasama antara pemilik IP dan institusi kewangan.
Sesi seminar turut menampilkan perkongsian pakar industri dan penggiat kreatif mengenai penilaian IP, peluang pelaburan dan strategi pembangunan perniagaan kreatif.
Melalui program ini, MyIPO berharap dapat merapatkan jurang kefahaman antara pencipta, pemilik IP dan penyedia pembiayaan serta memperkukuh ekosistem pengkomersialan harta intelek negara.
PENAFIAN | DASAR PRIVASI | NOTIS HAKCIPTA | POLISI KESELAMATAN
©HAKCIPTA TERPELIHARA -PORTAL RASMI PERBADANAN HARTA INTELEK MALAYSIA (MYIPO)